Skip to content

Demi kasih sayang itu!

09/03/2010

Untuk kesemua mereka, ( 2006-2010) ,

Marilah kita jalinkan kasih sayang sesama kita
Ia telah lama hilang tambah gersang di hati ini
Kita siram kembali dengan air Iman yang suci
Dengan menabur budi kepada semua manusia

Bila hati gembur dan subur semula
Benih mahmudah akan tumbuh kembali
Iakan berdaun subur dan berbuah
Memberi manfaat semula kepada penghuni taman yang resah

Jangan kita biarkan hati ini
Gersang dari kasih sayang
Manusia akan terumbang ambing
Hidup di dunia ini
Pangkat dan kekayaan tiada erti
Bila kasih sayang tak dimiliki

Marilah kita jalinkan kasih sayang sesama kita
Ia telah lama hilang tambah gersang di hati ini
Kita siram kembali dengan air Iman yang suci
Dengan menabur budi kepada semua manusia

Berkasih sayang perintah Allah
Diantara sifat Allah
Kasih kepada hamba-Nya
Allah sangat sayang kepada hamba yang berkasih sayang
Jalinkahlah kasih sayang untuk keredhaan-Nya

Hati sudah lama menderita kekosongan kasih sayang
Tanamkan semula jangan biarkan
Jangan biarkan berlama-lama
Sudah lama manusia hidup dalam derita lagi sensara
Ayuh kita suburkan semula
Kasihkan sesama sama manusia

Hari ini sambil menghirup air susu coklat, tidak lagi air kopi, dengan ditemani biskut, aku menjamu tengah hariku dengan hidangan sedemikian. Mencari idea untuk menulis, aku terdengar lagu kasih sayang yang didedangkan oleh Rabbani. Terimbas aku pada satu perbualan dengan Angah dan Adik.

“Kenapalah kumpulan tu boleh berpecahkan. Sayanglah, sebab semua lagu-lagu dia best-best. Tiba-tiba pulak berpecah” Adik menyatakan rasa kesalnya dengan satu kumpulan muzik yang berpecah. Dan aku hanya mendengar tanpa mengambil perhatian.

“Alah, selalunya tu pasal bayaran tuh. Cuba kau tengok berapa banyak penyanyi kumpulan yang berpecah kemudian dia buat single album dia. Tapi kau tahu tak, ada satu kumpulan yang walaupun ramai tapi tak pernah berpecah”

“Rabbani?” Adik menduga..

“Cuba kau tengok, bayaran setiap kali show bukanlah besar sangat, kumpulan tu kumpulan paling ramai, 12 orang tapi kenapa takde pun yang nak keluar malah bersyukur dengan rezeki yang sedikit mereka dapat” Aku mula tertarik dengan penerangan Angah.

“Pernah satu masa dahulu, Ustaz Asri pernah kata, dia masuk nasyid untuk berdakwah. Itulah nikmatnya bila bernasyid sambil berniat hendak berdakwah dan redha dengan segala-gala bayarannya”

Aku amati lirik Kasih Sayang yang dinyanyikan oleh kumpulan Rabbani. Allah, menyentuh perasaanku. Mungkin kerana beberapa peristiwa sejak kebelakangan ini dendangan nasyid tu sangat menyentuh hati aku. Manusia terlalu cepat menghilangkan perasaan berkasih sayangnya pada seseorang dengan mudahnya. Aku juga pernah ditikam oleh sahabat aku sendiri, tapi kenapa, aku masih sayangkan dia, masih menghiburkan dia, dan dia masih terhibur dengan perbualan aku. Benar, aku tidak mampu untuk mengikis setiap jasanya walaupun ada kala, luka lama yang berparut itu tetap mengingatkan aku setiap yang berlaku.

Terkadang, aku rindu untuk bersama-sama dengan sahabat yang setiap masa mengingatkan aku untuk terus-terusan bermujahadah. Sentiasa berkasih sayang. Bila kita semakin meningkat usia, semakin itulah tanggungjawab kita bertambah, malah makin lama, makin kita tertunduk dengan kemahuan untuk terus berusaha untuk dunia.

Dunia semakin lama semakin berat dengan perasaan ingin memiliki. Terkadang, hati cukup ingin selalu melihat satu perasaan yang redha atas segala-galanya. Hidup selalu menderita kerana mengejar dunia lebih dari segalanya.

Dunia hanya sementara, tetapi manusia terlalu mengejar kepuasan di dunia. Selalu yang ku hadirkan untuk hati ini adalah sifat semua itu ketentuanNYA yang kita sebagai hamba tidak mampu untuk melawan.

Aku cukup terpesona dengan bait lirik yang terbentang. “Marilah kita jalinkan kasih sayang sesama kita, ia telah lama hilang, tambah gersang di hati ini”..Hati ini terlah gersang dengan sebuah kasih sayang yang bisa ku rasainya kerana Allah. Jiwa ini selalu tertindas dengan tindakan manusia. Tingkah lakuku selalu disalah ertikan. Ku pernah menghadapi dunia ini dengan mata pandangan seorang anak muda. Dan ku ambilnya untuk ku ubah tika seusia aku kini. Manusia mungkin kata sifat itu tidak akan berubah tetapi ada kala, ia mengajar kita satu erti untuk tenang dalam mengasihi.

Walau apa pun yang dilakukan oleh manusia sekeliling, aku hanya memandangnya sebagai sebuah putaran hidup. Melihat sebuah perjalanan kehidupan ini mengajar aku untuk bersangka baik. Ajarkanlah hati ini wahai sahabat, untuk berkasih sayang kerana Allah memperlakukan kita satu hari nanti atas tindakan kita. Andai kemarahan yang selalu dibentang, maka, kemurkaan Allah lah yang selalu disajikan, andai sangka buruk yang sentiasa menghiburkan, maka, datanglah sangkaan itu berdasarkan ia.

“Allah bersama-sama dengan sangkaan manusia..”

Allah, cukup bermakna lirik ini yang ku amatinya, sekalipun hanya sekadar penghibur duka yang sangat dalam. “Saya tidak berharap pada manusia, tetapi saya yakin pada Allah”…

Berkasih sayang, bukan aku ingin ceritakannya dari cebisan-cebisan hadis yang petah ku katakan kalian mahir dengan semuanya, tetapi aku sajikan satu perasaan yang telah lama kita lupakan. Untuk manusia mengasihi kita, banyak yang kita perlu lihat. Aku teringat semula satu kisah Rasulullah, kecintaanku dan kalian semua. Kisah Rasulullah memaafkan Abu Sufyan yang pernah menzalimi umat islam, dan isterinya pernah bertindak kejamnya pada mayat bapa saudara Rasulullah..

Dan saat ketika Abu Sufyan datang kepada Rasulullah meminta belas kasihan, Rasulullah bersabda, “Barangsiapa berada di rumah Abu Sufyan, maka dia akan selamat”..Allah, luhurnya hatimu, ya Rasulullah..

Aku teringat atas setiap perilaku adik-adik yang ku anggap adikku sendiri. Pernah diherdik, pernah disangka buruk, pernah disisihkan, pernah dibiarkan, pernah juga dikeluarkan kata-kata yang tidak senang bagi sesiapa yang mendengarnya tetapi aku biarkan sahaja kerana aku sedar, mereka adik, dan mempunyai darah muda yang sifatnya adalah ingin bergurau. Dan ada kala, hati ini terguris, siapa yang tahu….Hanya satu kata-kata yang mengubati hatiku, “Hidup ini hanya perlu memberi, dan tidak sama sekali kita memintanya balik dari manusia” Dan sebabkan itu, untuk setiap kali yang berhajat padaku, aku akan penuhinya semampu yang aku boleh. Kerana aku hendak DIA penuhi satu permintaanku..Hanya satu permintaan bagi seorang wanita yang sering terkandas ini…Dan hanya satu itu juga, setiap yang bergelar wanita muslimah, mengimpikannya..Benar..Hanya satu itu tetapi aku mengkhususkannya….

Kerana itulah yang melatihku, aku memberi semuanya kerana Allah. Dan hanya kerana Allah sahaja yang boleh memenuhi permintaanku..

“Marilah kita jalinkan kasih sayang sesama kita, ia telah lama hilang tambah gersang di hati, Kita siram kembali dengan air Iman yang suci, Dengan menabur budi kepada semua manusia”

Taburlah budi dan kasih sayang pada yang memerlukannya. Kerana mereka telah lama gersang dengan kasih sayang..

Betapa indahnya dunia, bila berhiaskan Islam.
Betapa indahnya Islam, bila berhiaskan taqwa.
Betapa indahnya taqwa,bila berhiaskan ilmu.
Betapa indahnya ilmu, bila berhiaskan amal.
Betapa indahnya Amal, bila berhiaskan kasih sayang.
Selamat hari lahir hamira! – 9 Mac 2009.
Selamat bermujahadah dan berdikari kepada sisters Tinta Nurani!
No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: